Tuesday, 31 January 2012

Kopketa sasar untung lebih RM4j tahun ini

KLUANG 25 Jun 2008 - Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor Berhad (Kopketa) mensasarkan keuntungan lebih RM4 juta tahun ini menerusi pelbagai aktiviti perniagaan terutamanya perladangan sawit dan hartanahnya di sini.

Pengerusinya, Mohd. Shah Ithnin berkata, sasaran itu diyakini dapat dicapai berdasarkan keuntungan yang diperoleh tahun lalu sebanyak RM4 juta dan merupakan yang tertinggi setakat ini.

Menurutnya, ladang sawit seluas 1,120 hektar di Kluang merupakan penyumbang utama hasil Kopketa dan diikuti ternakan lembu dan beberapa aktiviti perniagaan lain.

"Kopketa pula dijangka memperoleh keuntungan pertamanya menerusi projek perumahan yang dimajukan di kawasan seluas 360 hektar di Jalan Kluang-Kota Tinggi tahun ini," katanya selepas Mesyuarat Agung Kopketa di sini kelmarin.

Mohd. Shah berkata, koperasi tersebut juga akan mengusahakan projek ternakan ikan air tawar di ladang sawitnya tahun depan dalam usaha mengembangkan lagi perniagaannya.

Selain itu, pihaknya juga dijangka menjalinkan kerjasama dalam ternakan lembu dengan sebuah syarikat dari Thailand mulai tahun depan.

"Rundingan masih berjalan dan jika tiada masalah projek itu akan diteruskan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada mesyuarat hari ini, Kopketa telah meluluskan pembayaran dividen 20 peratus kepada 320 ahlinya setelah memperoleh keuntungan bersih RM4 juta tahun lalu.

"Pembayaran dividen ini membabitkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta dengan setiap ahli akan memperoleh antara RM3,000 hingga RM7,000," katanya.

Menurutnya, dividen 20 peratus itu merupakan kali keempat berturut-turut dibayar oleh Kopketa sejak beroperasi lebih 30 tahun lalu.

ARKIB : 26/06/2008 (Utusan_Malaysia)

No comments:

Post a Comment